Sunday, April 3, 2011

Peristiwa sejarah pada bulan Rabiul Awal dan Rabiul Akhir


Pada entri yang bertarikhkan 30 Rabiul Akhir 1432 Hijrah ini, saya ingin menukilankan peristiwa sejarah Islam pada kedua-dua bulan Islam ini agar menjadi ingatan untuk semua muslim.....

Peristiwa semasa pemerintahan khalifah ‘Umar bin al-Khattab merupakan titik tolak permulaan takwim hijrah dimana khalifah ‘Umar telah mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam.

Dalam perbincangan tersebut pendapat ‘Ali ibn Abi Talib diterima dengan mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad S.A.W. dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam dan mereka juga bersetuju dengan pandangan Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam. Bulan Rabiul Awal dan Rabiul Akhir merupakan bulan ketiga dan keempat dalam kalendar Islam.

Jika Rabiulawal bererti bermulanya musim bunga bagi tanaman maka Rabiulakhir pula ertinya musim bunga yang akhir. Bulan ini merupakan peringkat akhir bagi tanaman-tanaman berbunga.

Pada waktu itu biasanya tanaman-tanaman di Tanah Arab akan mengalami peringkat akhir berbunga sebelum musim sejuk tiba. Selain dari Rabiulakhir, bulan ini juga dipanggil dengan nama Rabiul Thani yang membawa pengertian yang sama.

Perlu diketahui bahawa itu adalah gelaran nama bagi satu-satu bulan yang pada asalnya nama itu sudah wujud sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w lagi dan setelah Rasulullah mendapati nama-nama bulan itu tidak memberi makna yang buruk maka Rasulullah s.a.w mengekalkannya. Maka sebenarnya nama Rabiulakhir itu sendiri tidak ada perkaitan dengan ketetapan musim bunga atau buah kepada tanaman.

Cuaca, iklim, suhu dan musim adalah berkait rapat dengan peredaran matahari dan bintang-bintang lain sedangkan takwim Islam Qamari adalah berlandaskan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi.

Antara peristiwa penting pada Bulan Rabiul Awal:-

1.Kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Di keheningan 12 Rabiulawal tahun gajah lahirlah seorang insan pembawa rahmat bagi seluruh alam. Kehadiran baginda telah mengubah dunia dari kejahilan kepada kefaqihan.

2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul.
Dibulan Rabiulawal inilah Nabi Muhammad saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi Muhammad saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

3. Hijrah
Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.

4. Peperangan.
Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah:-

Ø peperangan Safwan (Badar pertama)

Ø Bawat, Zi Amar (Ghatfan)

Ø Bani An-Nadhir

Ø Daumatul Jandal

Ø peperangan Bani Lahyan.

5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw.
Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

6. Pembukaan Iraq
Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.

7. Pembukaan Baitul Muqaddis
Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.

Antara peristiwa-peristiwa penting dalam bulan Rabiulakhir :-
1. Peperangan – ada beberapa peperangan yang dicatat berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w yang berlaku di bulan Rabiulakhir di antaranya Peperangan Najran, Pengusiran kaum Yahudi Bani Nadir, Peperangan Al-Ghabah / Zi-Qarad dan Peperangan Al-Ghamar.

2. Pengepungan Damsyik – pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a diketuai oleh Abu ‘Ubaidah bin Al Jarrah dan Khalid bin Al Walid r.a tahun 14 Hijrah dan seterusnya membawa kepada pembukaan Damsyik.

3. Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a meninggal dunia dan Sayidina Umar Al-Khattab r.a di bai`ah menjadi Khalifah yang kedua.

4. Peperangan Jamal – tahun fitnah di mana Sayidina Aisyah r.a terheret dalam kancah peperangan menentang Khalifah Ali r.a.

5. Ramai sahabat-sahabat yang gugur syahid antaranya Talhah r.a dan Ibnu Zubir r.a.

6. Imam Ghazali meninggal dunia.

7. Ada pendapat yang mengatakan 27 Rabiulakhir adalah tarikh Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w (tarikh difardukan solat). Namun begitu tarikh yang masyhur dan yang diguna pakai di Malaysia ialah 27 Rejab. Sehingga sekarang masih belum ada kajian rasmi individu atau pihak tertentu yang menyemak kembali tarikh sebenar Israk dan Mikraj Rasulullah s.a.w.

Fadhilat :-
Amalan-amalan ibadat sama ada yang fardu mahupun yang sunat di bulan Rabiulakhir adalah sama dengan bulan-bulan yang lain. Tiada amalan-amalan yang khusus yang dianjurkan oleh Islam dalam bulan ini. Walau bagaimanapun, kita diminta untuk meningkatkan amalan dari masa ke semasa walau dalam bulan mana sekalipun.

Terdapat banyak lagi amalan sunat yang masih kita tidak lakukan atau tidak berkesempatan melakukannya. Maka pada bulan ini adalah masa yang sesuai untuk kita mengamalkan ibadah-ibadah sunat yang kita tidak berkesempatan untuk melakukannya sebelum ini.

Disamping kita menjaga dan meningkatkan kualiti amalan-amalan wajib, kita juga mesti cuba memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang kita ketahui. Amalan-amalan sunat adalah penampung atau pelengkap kepada amalan-amalan wajib kita.

Di antara amalan-amalan sunat yang menjadi amalan Rasulullah s.a.w sepanjang tahun ialah solat tahajjud, solat qabliah dan ba`diah, puasa Isnin / Khamis, sedekah, membaca Al-Qur`an dan lain-lain lagi.

Rujukan:

http://mpkjordan.wordpress.com/2011/03/06/peristiwa-disebalik-bulan-rabiul-awal-dan-rabiul-akhir/

http://www.alaminkorea.com/index/?p=1070


No comments:

Post a Comment